Setelah kejayaan Aspirasi Merdeka 2017 di Muzium Negeri Kota Kinabalu dan catatan ‘Malaysian Book of Rekod’, sempena Aspirasi Merdeka 2018 di Simpang Mengayau Kudat, kini Aspirasi Merdeka 2019 akan menjelajah daerah Sipitang pula bagi meneruskan misi program tahunan RTM untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Daerah Sipitang antara 21 lokasi terpilih seluruh negara anjuran RTM di peringkat ibu pejabat dan negeri-negeri yang mana lokasi Muzium Pelayaran Terengganu telah dijadikan sebagai tapak pelancaran pada 3 Ogos 2019. Majlis penutupan program ini pula dijangka akan berlangsung di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 7 September 2019.

Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar 2, Sipitang, telah dipilih sebagai lokasi program pada kali ini dengan mengumpulkan lebih 120 pelajar dari 4 buah sekolah menengah di Sipitang dan 2 buah sekolah menengah di Beaufort bagi melengkapkan aktiviti bersifat ‘fun learning’ tersebut.

Sekolah-sekolah terbabit adalah :

  1. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar 2, Sipitang
  2. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar, Sipitang
  3. Sekolah Menengah Padang Berempah, Sipitang
  4. Sekolah Menengah Sindumin, Sipitang
  5. Sekolah Menengah Weston, Beaufort
  6. Sekolah Menengah Gadong, Beaufort

Bertemakan ‘Ku Putar Ku Menang’, permainan kali ini akan menduga pengetahuan pelajar yang mewakili sekolah masing-masing berdasarkan beberapa kategori seperti sejarah & kenegaraan, geografi, penghayatan bahasa melayu serta hiburan dan media baharu. Markah akan ditambah atau ditolak dan pemenangnya ditentukan berdasarkan sekolah yang berjaya menggumpul markah terbanyak termasuk hadiah misteri.

Bukan itu sahaja, setiap sekolah juga berpeluang memintas untuk menjadi pemenang melalui acara gerai pameran kebudayaan etnik sebagai tugasan yang perlu disiapkan sepanjang tempoh masa permainan berlangsung.

Justeru, selain kecerdikan minda, nilai-nilai kerjasama, kreativiti dan mampu menyerap tekanan emosi di kalangan remaja juga adalah antara kriteria penilaian yang diterapkan dalam program tersebut.

Turut akan berlangsung, persembahan khas “Berjiming Kita” dari Unit Hiburan dan Muzik dengan membawakan artis-artis tempatan selain uji bakat nyanyian Bintang Kecil dan Bintang Remaja RTM dan lintas langsung menerusi Rancangan Selamat Pagi Malaysia dan segmen berita di TV1 selain laporan dari lokasi menerusi Radio Nasional fm, Traxxfm, Sabahfm, SabahVfm, Tawaufm, Sandakanfm dan Keningaufm.

Kemuncak program iaitu majlis penyampaian hadiah dijangka akan dihadiri oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob merangkap Wakil Rakyat N28. Sindumin dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tuan Eddin Syazlee Shith selain pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Sabah dan Pejabat Daerah Sipitang.

ZZA 3020

ZZA 3062

ZZA 3123

ZZA 3165

ZZA 3197