SEJARAH

Sabah FM adalah salah satu daripada 32 stesen radio yang beroperasi di seluruh negara di bawah kendalian Jabatan Penyiaran Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (Radio Televisyen Malaysia). Sejarah penyiaran di Sabah bermula pada tahun 1939 dengan ulasan selari perlumbaan kuda di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) yang dibuat dalam Bahasa Inggeris dan disiarkan menerusi talian radio-telefon ke Sandaka.  Radio telefon ini dikuasai oleh Jabatan Radio-Telegraf yang telah wujud sebelum tahun 1916 lagi.
 
 
Siaran percubaan dari rumah Mr. Bradley dikendalikan pada tengah hari dengan menyiarkan berita, kadangkala pengumuman dan rencana mengenai perlumbaan kuda yang sememangnya amat diminati ramai. Walaupun masih dalam percubaan sambutan orang ramai amat menggalakkan diukur dari segi permintaan Lesen Penerima Siaran yang perlu dibayar kepada Jabatan Pos dan Telegraf. Dalam tahun 1951 jumlah lesen yang dikeluarkan ialah 1,611 dan dalam tahun yang sama siaran percubaan ini dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Cina.
 
 
Siaran radio dari rumah Mr. Bradley berkembang dengan pesatnya dan telah mendapat sokongan dari pihak pemerintah British Jajahan Borneo Utara. Operasi penuh dimulakan dalam tahun 1952 dengan memperkenalkan rancangan-rancangan radio yang lebih tersusun dan secara tidak rasminya perkhidmatan ini dikenali sebagai Radio Sabah.
 
Rancangan-rancangan yang baru diperkenalkan ini dikelolakan oleh kakitangan Jabatan Penerangan dan disiarkan oleh Jabatan Telekom. Kedua-dua jabatan telah bekerjasama iaitu Jabatan Penerangan menyediakan berita, rancangan dan pengumuman sementara Telekom mengendalikan bidang teknikalnya.
 
 
Pada 09 Nov 1955 Perkhidmatan Radio Sabah telah dilancarkan secara rasminya serentak dengan perasmian bangunan sementara yang terletak di Bukit Brace berhampiran dengan menara jam di ibu negeri. Turut dilancarkan ialah siaran petang oleh Gabenor Jajahan Borneo Utara, Sir Roland Turnbull. Ketika ini Radio Sabah dikendalikan dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Kadazan.
 
 
Perkhidmatan Radio Sabah terus berkembang apabila bangunan tetap Wisma Radio siap dibina pada tahun 1962 yang terletak di Bukit Nenas, Jalan Tuaran iaitu bangunan yang ada sekarang. Selepas Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963 Radio Sabah bertukar nama menjadi Radio Malaysia Sabah. Siaran Radio bermula di bangunan baru ini pada 23 Jun 1963. Jabatan Penyiaran Malaysia kemudian berpisah dengan Jabatan Penerangan Malaysia pada 1964 di bawah naungan Kementerian Penerangan Persekutuan.
 
 
Sejak dari tarikh ini Jabatan Penyiaran telah menjadi sebuah agensi kerajaan yang amat berpengaruh di negeri ini. Perananya sebagai alat sebaran am kerajaan terbukti dari jumlah peruntukan wang yang besar bagi mengembang dan meluaskan kegiatan-kegiatannya di Sabah. Pembinaan stesen-stesen pemancar yang baru di tempat-tempat strategik di seluruh negeri meluaskan lagi pemancaran radio sejajar dengan pembangunan pesat di negeri ini. Pada keseluruhannya dasar rancangan Radio Malaysia Sabah adalah selaras dengan dasar Ibu Pejabat di Kuala Lumpur iaitu memberi khidmat kepada pendengar-pendengarnya imbangan rancangan yang sihat dari segi maklumat, pendidikan dan hiburan.
 
 
Sejak diwujudkan hingga sekarang perkhidmataan siaran dalam bahasa Melayu ini telah beberapa kali mengalami pertukaran nama. Bermula dengan Perkhidmatan Melayu bertukar kepada Rangkaian Nasional, kemudian bertukar lagi kepada Siaran Bahasa Malaysia. Sekarang ini berikutan penjenamaan semula, ia dikenali sebagai SABAH FM. Pemilihan nama baru itu adalah selari dengan perkhidmatan industri penyiaran bukan sahaja di peringkat nasional tetapi di peringkat global.
 
Selari dengan arus pembangunan semasa, Radio Malaysia Sabah fm juga tidak ingin ketinggalan daripada mendapat perhatian daripada pendengarnya. Pelbagai usaha dilaksanakan untuk memastikan radio ini kekal bersaing bersama  stesen swasta yang lain. Pelbagai program baharu diperkenal untuk memastikan pendengar lama terus setia, sementara pendengar baru terus bertambah. Stesen Sabah fm juga bermatlamat untuk menyampaikan dasar dan saranan kerajaan kepada seluruh khalayak pendengarnya menerusi konsep 'Hiburan Interaktif Bermaklumat'. 
 
Penghujung tahun 2012, Radio Malaysia Sabah fm telah bersiaran secara rasmi di pejabat baharu yang terletak di Kompleks Bersepadu KPKK, Jalan Lintas Off jalan Kepayan.